Thursday, February 4, 2010

BICARA ANWAR DAN SAIFUL

Taktik yang dipaparkan dalam perbicaraan mahkamah adalah sama. Kebenaran tidak lagi penting tetapi apa yang diungkapkan dari imaginasi liar Saiful Bukhari boleh dimuatkan di ruangan berita.

Ia tidak lain dan tidak bukan bagi mencalar imej Anwar Ibrahim dan ini adalah mind game yang saya maksudkan dalam tulisan pertama.

Dalam tempoh bicara, akan dimuatkan sejumlah pertanyaan untuk menambah rasa sangsi kepada Anwar Ibrahim. Antara pertanyaan yang dimuatkan ialah: “Kenapa Anwar Ibrahim ambil drop-out kerja dengan-nya?”.

Kisahnya bermula sekitar seminggu sebelum Pilihan Raya. Waktu itu sejumlah anak muda yang sebahagiannya bernaung di bawah Anwar Ibrahim Club giat mengikut rombongan Anwar berkempen.

Tiba-tiba muncul Saiful Bukhari dalam kelompok ini.

Ya, Saiful Bukhari berjaya menyusup masuk bersama kelompok ini melalui sahabat lamanya Rahimi yang bekerja sebagai pembantu di pejabat Anwar Ibrahim.

Kehadiran Saiful Bukhari tidak disenangi mereka yang kenal dengan beliau, khususnya bekas pelajar Universiti Tenaga Nasional. Salah seorang daripadanya ialah saudara Najwan Halimi yang menulis siri Musang Berbulu Ayam di blognya (najwanhalimi.com).

Najwan ialah bekas rakan sebilik Saiful semasa di tahun pertama. Saiful dalam kenyataan kepada rakan-rakannya sering memaklumkan bahawa “Ibunya sedang menderita barah dan ayahnya telah mati”. Ya, khabarnya Saiful tidak begitu gembira dengan ayahnya pada waktu itu.

Blog lama beliau www.saifulbukhari15.blogspot.com (saya tidak ingat alamat sebenar tapi ingat no. 15 itu kerana ia nombor calon ketika beliau bertanding dalam Pilihan Raya kampus) memuatkan retorika palsu dan cercaan dari rakan-rakan di UNITEN akibat ‘kehilangan’ beliau selepas terpilih menjadi anggota Majlis Perwakilan Pelajar di sana.

Sejak di kampus, beliau memang dikenal sebagai pro-kerajaan dan anti-Anwar Ibrahim.

Tidakkah Anwar Ibrahim mendengar kritikan Najwan Halimi kepada Saiful Bukhari?

Tidak, beliau mendengar.

Tapi bagi mereka yang kenal dengan Anwar Ibrahim, malah bagi siapa saja yang biasa dalam dunia dakwah, sangka baik dan beri peluang adalah kata yang lekas keluar dari akal-fikir, hati dan mulut. Apatah lagi bila yang dicurigai beria-ria mengatakan dirinya insaf.

Saiful terus kekal menyibukkan diri di pejabat Anwar Ibrahim – di Petaling Jaya dulunya – selepas Pilihan Raya. Beliau sendiri mengakui tidak ada surat dikeluarkan kepada beliau berkaitan pekerjaan.

Rahimi dan Saiful menghidu peluang untuk bekerja sebagai Setiausaha Anwar Ibrahim bila Nik Nazmi, Sim Tze Min dan Nurul Izzah (semua mantan Setiausaha Anwar) menang dalam Pilihan Raya. Ya, selepas Pilihan Raya Anwar memang ‘patah tangan’ kerana banyak urusannya tidak ada staf yang membantu. Dato’ Salehuddin juga telah diangkat sebagai Setiausaha Agong parti, justeru pentadbiran pejabat Anwar Ibrahim jadi tidak terurus.

Waktu itu terdengar khabar perebutan jawatan “pemegang diari merah” (Setiausaha Sulit) Anwar Ibrahim.

Hakikatnya, Anwar pernah menyarankan kepada Rahimi dan Saiful agar “pergi sambung belajar” sebagai satu kaedah sopan untuk mengatakan “anda tidak mampu menggalas kerja-kerja yang memerlukan kualiti kepakaran lebih tinggi”. Apa yang berlaku ialah mereka buat pekak badak!

Mereka jadi amat tidak selesa apabila Anwar memanggil balik orang kanannya dari United Kingdom untuk berkhidmat. Beberapa kali dalam mesyuarat diarahkan agar “diari merah” diserahkan kepada orang kanan ini (saya pilih untuk tidak menulis namanya) namun tidak diendahkan oleh Rahimi dan Saiful.

Memandangkan keterangan di mahkamah masih dan baru berlangsung, saya tidak bercadang menulis semua perkara di sini. Bukan kerana sub-judice, tapi ia mungkin melibatkan banyak isu lain yang sedang bergerak sama selain isu ini. Tapi saya yakin kisah sebenarnya lambat laun akan sampai ke pengetahuan umum.

Untuk saya, Anwar memang berlaku silap saat “memberi peluang” kepada Saiful Bukhari masuk ke pejabatnya. Paling tidak jika mahu bersangka baik pun, bukan di pejabat beliau Saiful harus bekerja.

Namun sebagai orang yang pernah dilatih di medan dakwah, saya faham benar sikap bersangka baik yang tebal dalam diri Anwar.

Saya berharap para peguam Anwar akan menyelongkar bahagian waktu sebelum Saiful benar-benar bertapak di pejabat Anwar dengan penuh kegusaran.

Saya juga pernah mendengar bahawa memang ramai mengakui bahawa Saiful “boleh bekerja” dalam pengertian membuat panggilan dan menguruskan fail bagi pihak Anwar. Saya hanya mahu katakan bahawa untuk kerja-kerja yang telah selesai dan hanya perlu menjadi tukang ambil, tukang buat panggilan dan sebagainya, ia kerja yang biasa dan bukanlah hebat sangat sebagaimana yang cuba digambarkan oleh Saiful dan juak-juak UMNO-BN.

Saiful hanyalah penggemar Syed Hussein al-Attas, penulis buku politik di Janda Baik itu dan bukan Profesor Syed Hussein al-Attas!

Kredit:
perakexpress.com

Komen:
Semoga Allah tunjukkan kebenaran dan jauhi bala umat atas cetaknya iman mereka terlibat yang lakukan peristiwa aib ini. Pimpinan harus utama agama untuk selesaikan semua perkara dalam kehidupan.

Wednesday, February 3, 2010

PUASHATI DENGAN PENJELASAN DARI ULAMA MUDA (PENGERUSI JK DISIPLIN PARTI)

Bilamana UMNO Tidak Menyerang PAS

Oleh : Dato' Tuan Ibrahim b. Tuan Man

Berada di kerusi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti bukanlah sesuatu tempat yang mudah dan selesa. Ia adalah tempat yang akan menerima pelbagai kecaman dan kritikan, dan di waktu yang sama saya tidak boleh membela diri kerana sebarang jawapan kepada kritikan berhubung keputusan JK Disiplin, akan mendedahkan beberapa maklumat sulit parti, yang tidak perlu diketahui oleh umum.

Sewaktu saya ditawarkan jawatan ini, saya merayu beberapa kali agar melantik orang lain, bukan untuk lari dari amanah, tetapi ianya tidak sesuai dengan jiwa saya. Saya tidak suka menghukum orang, apa lagi untuk menjatuhkan hukuman ke atas sahabat satu jamaah. Bahkan saya sangat bersetuju suatu pindaan Perlembagaan parti perlu dibuat agar Pengerusi JK Disiplin tidak diambil dari kalangan AJK Pusat; kerana ia akan dilihat ‘tidak adil’ terutama bilamana kita terpaksa membicarakan AJK sendiri atau pemegang jawatan parti. Undang-undang bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu dilihat adil. Mungkin satu masa yang terdekat perkara itu akan dipinda, dan itulah harapan saya. Bukan untuk lari dari amanah, tetapi untuk kebaikan parti yang terus berkembang dan akan pasti berhadapan dengan lebih banyak karenah dalaman.

Bilamana saya dihadapkan dengan kes membabitkan dua tokoh di Selangor , Dato’ Dr Hassan Ali dan YB Khalid Samad, kedua-duanya adalah sahabat baik yang semua orang tahu. Saya mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Khalid Samad, bahkan kalau ke Shah Alam, Markaz PAS Seksyen 18 adalah tempat penginapanan saya. Di situlah saya berehat dan tidur selepas program di Shah Alam, dan Khalid Samad antara orang terawal saya hubungi, memaklumkan bahawa saya masuk kawasan jajahan takluknya, sebagai Ahli Parlimen. Biasa kami akan berjumpa, minum-minum berbual-bual. Bahkan selepas hukuman dijatuhkan kepada beliau saya hubunginya di luar Negara, memaklumkan keputusan, dan memohon keampunan Allah kalau saya tersilap dalam membuat keputusan kepada sahabat sendiri.

Tapi apakan daya, hukuman dan keputusan terpaksa dijatuhkan. Hanya saya rasa kurang terbeban bilamana keputusan dibuat dengan sebulat suara oleh semua Ahli JK Disiplin. Di kalangan kami ada bekas hakim dan peguam veteran PAS, Dato’ Abd Mutalib Embong dan Tuan Guru Hj Osman, seorang ulamak terkenal yang pernah menuntut di Makkah al-Mukarramah dalam bidang syariah.

Saya memaklumkan kepada YB Khalid Samad, agar menggunakan peruntukan perlembagaan untuk membuat rayuan kepada JK Pusat dan Syura, sekiranya beliau rasa hukuman tidak berpatutan. Saya masih ingat kata-kata beliau sebelum beliau ke luar negara, dalam pertemuan sewaktu membincangkan isu kalimah Allah, beliau berkata: “Kalau ana bersalah, hukumlah, jangan anta rasa berat pulak.” Saya menjawab : “ InsyaAllah, semoga Allah memudahkan urusan ini.” Beliau menyatakan dengan keputusan ini beliau sukar untuk merasmikan mesyuarat agung cawangan –cawangan yang telah membuat jemputan tetapi beliau boleh hadir atas sifat sebagai Ahli Parlimen, dan aktiviti beliau boleh berjalan macam biasa.

Saya teringat bila mana Umar al-Khattab melucutkan jawatan Khalid al-Walid ( bukan menggantungnya ) sedangkan Khalid tidak melakukan apa-apa kesalahan. Khalid terus berjuang sehingga penyokong hairan dengan tindakannya. Mereka bertanya: “Kenapa kamu tidak nampak apa-apa perubahan?” Beliau menjawab: “Aku bukan berperang kerana jawatanku, tetapi kerana Allah!” Bahkan beliau terus mengemukakan cadangan kepada penglima baru bilamana melihat tentera Islam hampir kalah. Inilah semangat Khalid al-Walid. Saya yakin kita perlu mencontohinya.

Kami tidak ada agenda untuk menjatuhkan seseorang atau menaikkan seseorang. Hukuman berdasarkan fakta yang ada di hadapan kami adalah hasil soal siasat dan penghujahan yang lama dan panjang, semata-mata untuk memberi keadilan kepada tertuduh. Kami tidak boleh mengikuti kehendak orang ramai yang hanya berdasarkan andaian, bukan fakta siasatan. Saya yakin pengumuman keputusan akan menjadi tajuk utama berita, kerana media perdana telah memainkan isu ini beberapa waktu sebelumnya dengan pelbagai andaian hukuman. Mereka telah berjaya membawa pemikiran massa kepada satu hukuman jangkaan yang mereka ada agenda tersendiri.

Selepas keputusan diumumkan saya menjangka UMNO akan memainkan isu ini bagi melemahkan pengaruh PAS, khususnya di Selangor. Ternyata andaian saya meleset. UMNO tidak menyerang sebaliknya saya diserang oleh ahli PAS dan rakan-rakan sendiri, yang hadir dalam mesyuarat bersama dan sering berjumpa sama. Kenapa mereka tidak datang jumpa dan bincang terus, kenapa perlu menggunakan media untuk menyerang JK Disiplin yang ditubuh oleh parti dan mempunyai hak dan kelayakan dalam perlembagaan parti? Apa untung bagi parti dengan tindakan tersebut?

Saya sebenarnya cuba untuk menjawab tohmahan itu, tetapi sebarang jawapan hanya akan menimbulkan polimik yang lebih besar dan berpanjangan. Tambahan pula ada beberapa fakta yang ditemui tidak sesuai jadi tatapan umum. Cuma saya bertanya sendirian, kenapa UMNO tidak mengambil kesempatan menyerang sedangkan mereka telah membentuk pemikiran massa ke arah itu. Bahkan yang hebat menyerang adalah ahli PAS atau penyokong PAS. Mungkin kerana simpati terhadap Khalid Samad, atau geram dengan Hassan Ali.

Komentar dari Abdullah Karim saya anggap melampau dan saya difahamkan Dewan Pemuda Pusat akan melakukan sesuatu, dan Pejabat Agong juga akan bertindak. Beliau sebenarnya telah menghantar surat memaklumkan akan mengikuti isteri ke luar negara dalam tempoh yang panjang, dan sehubungan itu beliau melepaskan semua jawatan dalaman parti dan jawatan di peringkat Negeri Pahang. Mesyuarat telahpun menerima permohonan beliau.sayangnya saat-saat akhir sebelum beliau keluar Negara, kesempatan diambil untuk menyerang JK Disiplin Parti. Kritik kemudiannya tinggal.

Saya dukacita kerana beliau seorang peguam, yang memahami prosedur hukuman dan siasatan. Kita tidak boleh menghukum berdasarkan andaian dan kehendak massa. Hukuman mestilah berdasarkan fakta yang kita temui dalam siasatan. Seandainya ada fakta yang terselindung atau yang tudak dikemukan sebagai bahan kes, maka kita tidak boleh mengambilnya sebagai alasan penghakiman. Memang saya akui bahawa beliau ada menghantar satu laporan kepada JK Disiplin, tetapi saya telah maklumkan prosidur bahawa dia kena hantar kepada SU Agong untuk dibuat penilitian, kesahihan penama-penama yang disebut, apakah ia benar ahli PAS atau bukan, sejauh mana ada kes yang boleh dirujuk kepada JK Disiplin atau kes hanya melibatkan urusan pentadbiran parti.

JK Disiplin adalah hakim, bukan badan untuk menyiasat. Takkan beliau tak faham, semua parti politik mempunyai mekanisma yang sama. Bahkan dalam prosedur perundangan biasa pun, mana ada seorang yang dituduh terus diheret di hadapan hakim untuk bicara. Pihak polislah perlu menyiasat, mencari bukti dan menentukan apakah ada kes sebagaimana yang dituduh atau tiada kes. Aduan yang dia buat hanya berupa ‘hear say’, dan dia juga faham dan sudah diberi tahu bahawa aduan beliau tidak boleh diambil tindakan, hanya dengar cakap, tiada bukti. Untuk memanggil orang yang berkenaan dalam pertuduhan beliau, penama tersebut bukan ahli PAS. Kita tiada kuasa memanggil bukan ahli dan apa jaminan ianya tidak bertindak merosakkan nama baik parti sekiranya dipanggil. Ini JK Disiplin parti, untuk menjaga ahli agar tidak melakukan tindakan merosakkan nama baik parti, dan bertindak diluar perlembagaan parti.

Apa yang mendukacitakan saya ialah saya telah jelaskan bahawa inilah prosedur laporan disiplin parti, yang telah diamalkan sejak awal penubuhan parti lagi, dan beliau memahaminya dan menerimanya pada waktu itu, tapi kenapa tiba-tiba dia sanggup mengeluarkan kanyataan menyerang prosedur tersebut. Soal dia tidak berpuas hati dengan hukuman ke atas tertuduh, saya pelik bukan dia yang kena tuduh. Bahkan kalau kita baca tulisan YB Khalid sendiri dia rasa puas hati bilamana segala dakwaan beliau terhadap Hassan Ali dibuktikan benar oleh JK Disiplin, sehingga Hassan Ali didapati bersalah dan dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan yang merugikan PR dan parti. Yang kena hukum berpuas hati, yang tak ada kena mengena pulak tak puas hati.

Sebagai pimpinan kita sepatutnya menyalurkan komentar melalui saluran parti dan memelihara adab dalam jamaah. Semua harus fikir apakah tindakan yang kita lakukan itu menguntungkan parti atau sebaliknya, kerana kenyataan kita bukan keputusan perbicaraan, yang terpaksa berdasarkan fakta dan bahan yang ada di hadapan kita.

Kepada Allah saya memohon ampun andainya tindakan yang diambil tidak tepat dengan apa yang sepatutnya; dan semoga Allah tidak membebankan saya dengan bebanan yang lebih berat di akhirat. Ingatlah, kalau anda tidak boleh membantu jamaah, jangan menyusahkan jamaah.

Wassalam.

Dari blog Dato' Tuan Ibrahim Bin Tuan Man